KEMAMAN – Tiga termasuk dua beradik perempuan maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 304, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kijal di sini semalam.
Kejadian pukul 11.15 pagi itu mengakibatkan Haznah Ali, 59, (gambar kecil) serta dua beradik perempuan, Weaam Lukman, 8 bulan dan kakaknya, Wedad, 2, maut di lokasi kemalangan akibat kecederaan dalaman.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd. Said Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang warga Thailand, Lukman Waeni, 31, dirempuh oleh sebuah kereta Perodua Axia dari arah belakang.
Menurut beliau, pemandu Proton Wira yang menghala ke Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang itu dikatakan berhenti di bahu jalan untuk berehat sebelum Perodua Axia dari arah sama yang dinaiki Haznah merempuh kereta tersebut.











