KAMPAR – Tiga lelaki maut apabila kenderaan lasak pacuan empat roda yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang membawa muatan surat khabar di Kilometer 291.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 4.40 pagi itu, pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux, Nishan Singh Dhillon, 30, serta dua sepupunya, Rajminder Singh, 26, dan Gurdial Singh, 28, berasal dari Kampar itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 40 tahun tersebut sedang memandu di lorong kiri dan dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tapah dari Ipoh.
“Tiba di tempat kejadian, kenderaan lasak pacuan empat roda dinaiki mangsa yang berada di lorong kanan ketika itu merempuh bucu tepi sebelah kanan belakang lori.
“Akibat rempuhan itu, lori tersebut terbabas lalu melanggar penghadang jalan sebelah kiri jalan manakala Toyota Hilux itu hilang kawalan menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak keluar dari kenderaan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Kong Soon, ketiga-tiga mangsa yang tercampak keluar itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu lori pula mengalami kecederaan dan dia dibawa ke Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











