KUALA TERENGGANU 14 Ogos – Gejala pencerobohan perairan negeri ini oleh nelayan Vietnam belum memperlihatkan tanda yang meredakan, dan terbaharu tiga lagi bot bersama 40 awak-awak berjaya ditahan petang kelmarin.
Ekoran penahanan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu, bot bersama kelengkapan, 920 kilogram hasil laut dan 30,000 liter diesel yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM4.5 juta dirampas.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, ketiga-tiga bot berkenaan ditahan oleh kapal Maritim KM Segantang di tiga lokasi berbeza iaitu antara 106 batu nautika hingga 116 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
“Kapal Maritim terpaksa mengejar kira-kira sejam sebelum berjaya menahan bot-bot berkenaan kerana enggan memberi kerjasama apabila diarahkan berhenti malah ada yang cuba bertindak menghimpit kapal kami.
“Kesemua bot terbabit dibawa ke jeti Maritim negeri untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1)(a) 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran yang sah daripada Pengarah Perikanan,” katanya, di sini hari ini.
Selain itu, nelayan terbabit juga akan akan disiasat kerana tidak memiliki lesen dan permit kerja yang sah di bawah Seksyen 6 (1) (c ) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai pengenalan diri dan permit kerja di samping Seksyen 14 (3)(b) Akta Perikanan kerana memalsukan dokumen bot.
Muhammad Suffi berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, mereka menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan bagi mengelirukan pihak berkuasa.
Beliau menegaskan, pihak Maritim Malaysia Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara.
Sehubungan itu, selain mempertingkatkan rondaan, pihaknya mengharapkan kerjasama nelayan tempatan untuk terus melaporkan sebarang pencerobohan yang boleh menjejaskan ekonomi negara dan juga pendapatan mereka. – UTUSAN ONLINE











