KUALA LUMPUR 15 Ogos – Genap seminggu ditayangkan, filem terbaharu arahan pengarah terkenal, Mamat Khalid iaitu Hantu Kak Limah (HKL) berjaya meraih kutipan lebih RM9 juta.
Rekod ini menjadikan HKL sebagai filem tempatan pertama mendapat kutipan tertinggi selepas tujuh hari ditayangkan.
Bagi pengarah ternama itu, kutipan RM9 juta bagi naskhah sentuhannya itu merupakan satu berita yang amat menggembirakannya.
Dalam masa sama, Mamat langsung tidak menjangka HKL akan mencipta rekod yang membanggakan.
“Memang tidak dijangka sama sekali. Hasil kutipan yang mencipta rekod ini merupakan satu kejutan bukan sahaja kepada saya malah seluruh tenaga kerja yang menjayakan filem itu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada hari pertama tayangan iaitu pada 9 Ogos lalu, HKL mendapat maklum balas luar biasa daripada penonton dengan kutipan diperoleh sebanyak RM1.8 juta menjadikan jenama Kak Limah yang diilhamkan oleh Mamat sebagai karya yang popular.
Filem HKL merupakan sekuel ketiga jenama Kak Limah yang dibintangi oleh Delimawati dan Datuk Awie serta dibantu oleh Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Sharwani dan TJ Isa.
Naskhah yang diterbitkan dengan kerjasama Astro Shaw dan Infinitus Gold ini turut menampilkan bintang undangan seperti Mus May, Jue Aziz, Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.
Utusan Malaysia difahamkan dalam masa terdekat, kutipan filem HKL bakal mencecah lebih RM10 juta.
Sementara itu, ditanya mengenai perbandingan yang dibuat oleh netizen mengenai kutipan antara HKL yang jauh meninggalkan kutipan filem Pulang yang turut ditayangkan dalam masa sama, Mamat berkata, adalah tidak adil untuk berbuat demikian memandangkan kedua-dua naskhah berkenaan berbeza genre.
Pulang arahan Kabir Bhatia, kata Mamat, diakui sebuah naskhah yang baik dan pujian harus diberikan kepada seluruh produksi filem tersebut.
“Pulang sebuah naskhah yang dihasilkan dengan baik sekali.
Saya yang menontonnya sangat menyanjungi kehebatan kerja dan usaha yang diberikan oleh pengarah dan tenaga produksinya.
Ia merupakan sebuah cerita yang berat manakala HKL adalah sebuah filem hiburan semata-mata,” ujar Mamat.











