ANKARA – Presiden Tayyip Erdogan berkata semalam bahawa serangan ke atas ekonomi Turki tiada bezanya dengan serangan terhadap bendera negara berkenaan mahupun laungan azan.
Beliau berkata demikian menjelang cuti Hari Raya Aidiladha selama empat hari yang bermula hari ini sebagai mengulas aktiviti penjualan mata wang Turki, lira oleh pedagang-pedagang mata wang baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Erdogan berkata, matlamat krisis mata wang lira itu adalah untuk menundukkan Turki dan rakyatnya.
Mata wang lira susut kira-kira 40 peratus nilainya tahun ini, antara lain berpunca daripada kebimbangan mengenai pengaruh Erdogan ke atas dasar kewangan negara dan perbalahan diplomatik yang semakin buruk dengan Amerika Syarikat (AS).
Krisis mata wang itu menular ke pasaran baru muncul yang lain dan pasaran saham global sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
“Serangan ke atas ekonomi kami sama sekali tiada bezanya dengan serangan terhadap bendera dan laungan azan. Matlamatnya adalah sama. Matlamatnya ialah untuk menundukkan Turki dan rakyatnya.
“Bagi sesiapa yang berfikir bahawa mereka boleh membuatkan Turki tunduk dengan serangan ini, mereka sebenarnya silap,” kata Erdogan dalam ucapannya di televisyen.
Erdogan tidak menamakan secara langsung negara atau institusi terbabit tetapi beliau sebelum ini menyalahkan serangan mata wang itu ke atas pelobi-pelobi kadar faedah, agensi penarafan dan pembiaya kewangan Barat. – Reuters











