SAUDARA PENGARANG, SEORANG pelajar Cina baru-baru ini menggunakan platform media sosial untuk mengadu berikutan gagal mendapat tempat ke universiti dan kursus pilihan sekalipun mempunyai Keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.92 dan 4A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Aduannya itu tular dan segera mendapat maklum balas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta beberapa ahli politik Melayu dalam kerajaan.
Memang saya sendiri rasakan tidak adil pelajar cemerlang sebegini tidak mendapat tempat di universiti mahupun kursus idamannya tetapi pada masa sama tidak sesuai untuk menjadikan media sosial tempat mengadu domba sedangkan ada saluran rasmi untuk merayu tawaran yang diterimanya.
Tambahan pula, kes ini menunjukkan seolah-olah pelajar Cina diberi keutamaan anggota kerajaan sedangkan ramai lagi pelajar India dan Melayu yang cemerlang tetapi tidak mendapat tempat di universiti idaman mereka.
Selepas ini pasti semakin ramai pelajar cemerlang mengadu dalam media sosial disebabkan tidak mendapat tempat dalam kursus yang diidamkan dengan harapan ahli politik akan menggelupur membantu bagi ‘mendapat nama’.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching sendiri telah menjelaskan CGPA 4.0 sekalipun belum tentu dapat menjamin kursus idaman seperti mana Ijazah Perubatan yang cuma mempunyai 484 kekosongan tetapi dipohon 2,730 pelajar cemerlang.
Saranan saya, jangan harapkan layanan istimewa walau setinggi mana sekalipun keputusan peperiksaan apatah lagi mahu menggunakan bangsa dan status minoriti untuk menarik rasa kasihan orang ramai serta ahli politik.
Buat permohonan dan rayuan mengikut saluran rasmi kerana tindakan begini seolah-olah ‘mencuri’ tempat orang lain sedangkan kekosongan itu sememangnya terhad dan direbut ribuan pelajar pelbagai bangsa setiap tahun.
Kita tidak semestinya mendapat apa sahaja dihajatkan dalam hidup, itu satu perkara perlu disedari seawal mungkin. Sekiranya tidak mendapat tempat di universiti awam, cuba di universiti swasta yang turut menawarkan pelbagai kursus diiktiraf dunia.
Perihal kewangan juga tidak sepatutnya menjadi alasan kerana ada pelbagai pinjaman dan biasiswa pendidikan untuk pelajar cemerlang malah tidak kurang bilangan pelajar yang bekerja secara sambilan bagi mengelak membebankan ibu bapa.
GRADUAN PERUNDANGAN
Universiti Malaya











