KUALA TERENGGANU 2 Ogos -Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sebelum ini dikekalkan dengan singkatan nama J3K oleh kerajaan Pas akan dikenali dengan nama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
![]() |
|
DR. AZMAN IBRAHIM
|
Penukaran nama institusi kepemimpinan di peringkat akar umbi yang diwujudkan di era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional itu bagi memberikan suatu imej dan pendekatan baharu telah diputuskan oleh kerajaan negeri dalam mesyuarat Mingguan Exco semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyarankan agar penggunaan nama baharu itu diselaraskan di semua negeri bagi memudahkan urusan.
“Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Jun dan syor oleh pihak kementerian, mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri semalam telah membuat keputusan J3K bagi seluruh negeri Terengganu akan mengguna pakai nama baharu,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, penggunaan nama MPKK ini perlu supaya berlaku penyelarasan dalam urusan berkaitan pengurusan kampung antara kerajaan negeri dan Pusat dalam soal penyaluran peruntukan serta hal-hal pentadbiran lain.
Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga telah dimaklumkan tentang keputusan kerajaan Pusat yang menyerahkan pelantikan MPKK itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Di samping itu juga katanya, semua JKKK Persekutuan (JKKKP) di negeri-negeri (yang dikuasai pembangkang) dimansuhkan.
“Ini bermakna tiada pertindihan fungsi antara negeri dan Pusat dalam hal pengurusan kampung,”ujar beliau.
Justeru katanya, tak ada lagi kebimbangan berlaku campur tangan Pusat dalam bidang kuasa kerajaan negeri dalam membentuk kepemimpinan di peringkat agar umbi yang berperanan menggalas amanah untuk rakyat, dan menjadi penghubung dengan kerajaan.- UTUSAN ONLINE











