Terengganu raih tiga anugerah di Floria Diraja 2018 - Utusan Malaysia

Terengganu raih tiga anugerah di Floria Diraja 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 26 Ogos – Kontinjen Terengganu meraih tiga anugerah dalam Floria Diraja Putrajaya 2018 termasuk pengiktirafan tertinggi dalam festival itu iaitu Floria Garden Prime Award.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejayaan itu sekali gus membolehkan pasukan negeri merampas takhta kejuaraan daripada penyandang bertahan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dua anugerah lain yang dimenangi adalah Royal Flora Garden Award dan Royal Floria Garden of Malaysia Award.

Jabatan Pelancongan negeri dalam satu kenyataan memberitahu, Terengganu mempertaruhkan taman berkonsepkan warisan laman istana lama yang menerapkan nilai estetika landskap Melayu nusantara.

Dikenali sebagai Laman Sri Terengganu hiasannya merangkumi ruang pintu masuk utama, ruang santai dan rumah bujang.

Berdasarkan rekod, kontinjen negeri ini pernah merangkul anugerah kreatif dalam penganjuran sama pada 2006 di samping anugerah starlight (2015).

Floria Diraja Putrajaya 2018 yang bermula semalam hingga 2 September depan dibuka kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 10.30 malam (Isnin hingga Khamis) dan 9 pagi hingga 12 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).

Penganjuran festival yang dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam meletakkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai salah satu destinasi dalam peta festival bunga-bungaan sedunia.

Bertemakan 10 Kegemilangan Floria, festival yang berlangsung di Anjung Floria, di sini itu selaras dengan hasrat kerajaan dalam menjadikannya setara dengan Festival Tulip Belanda yang diadakan di Keukenhof, Belanda setiap tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini