KUALA LUMPUR 28 Ogos – Ketua jurulatih skuad Bawah 21 (B-21) Terengganu, Badrul Afzan Razali mengakui tidak rela untuk kecewa buat kali ketiga selepas pasukannya layak beraksi di pentas akhir Piala Presiden menentang Kedah di Stadium Kuala Lumpur, esok.
Terengganu terlepas peluang dua kali untuk mendakap trofi kejohanan dalam dua edisi berturut-turut apabila tewas agregat 3-1 kepada Kelantan pada 2016 sebelum kalah agregat 2-1 di tangan Selangor pada tahun lalu.
Badrul berkata seramai 15 pemain yang sebelum ini pernah beraksi di pentas akhir kejohanan disenaraikan dalam skuad dan walaupun di label sebagai pasukan pilihan namun dia menyifatkan peluang untuk kedua-dua pasukan merangkul kejuaraan sama rata.
“Ini merupakan tahun ketiga kami layak ke final dan pada masa sama ini musim pertama saya bersama pasukan. Saya fikir daripada segi kematangan ini merupakan tahun yang paling matang untuk pasukan mendakap kejuaraan Piala Presiden.
“Bagaimanapun, saya tidak menanggap kami sebagai pasukan pilihan kerana kedua-dua pasukan ada kelemahan dan kekuatan masing-masing dan saya fikir pasukan mana yang paling banyak melakukan kesilapan pasukan itu yang akan kalah.
“Seramai 15 pemain saya pernah main di pentas final sebelum ini, bukan mahu terlalu yakin cuma saya berharap mereka lebih tenang semasa beraksi agar dapat membawa pulang trofi ke Terengganu,” katanya kepada pemberita sidang media pra-perlawanan akhir Piala Presiden 2018, di Wisma FAM hari ini.
Sementara itu, jurulatih Kedah, Victor Andrag tekad untuk membantu pasukannya menamatkan penantian selama 15 tahun selepas kali terakhir mereka menjuarai Piala Presiden pada 2003 apabila menewaskan Kelantan 2-1.
“Ini kali pertama kami layak ke pentas final selepas kali terakhir melakukannya 15 tahun lalu. Tempoh yang cukup lama dan saya fikir ini masa yang sesuai untuk kami menamatkan kemarau kejohanan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











