KUALA TERENGGANU 15 Ogos – Kerajaan Pas memutuskan akan melantik wanita sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membawa suara golongan itu yang tidak diwakili dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali berkata, peruntukan undang-undang tubuh mengenai pelantikan tersebut sudah diluluskan semasa Pas mentadbir Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004, dan langkah ke arah itu kini dalam proses untuk diselesaikan.
Bagaimanapun, katanya, langkah tersebut yang merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan ke arah memantapkan peranan DUN, terdapat beberapa prosedur perlu dipatuhi termasuk mendapatkan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Kita mahu peranan wanita diperlihatkan, walaupun tidak menjadi calon atau tidak dipilih dalam pilihan raya umum tetapi mereka turut diberi peranan sama untuk bercakap, berbahas di samping boleh mengemukakan soalan, cuma sedikit perbezaan mereka tidak boleh mengundi (dalam persidangan).
“Taraf mereka seperti senator di peringkat Parlimen (tanpa mewakili mana-mana kawasan). Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan cepat, kalau tidak ada sidang DUN terdekat maka akan disekalikan dalam pembentangan Bajet, November depan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Khas Kepada ADUN Terengganu di Hotel Primula di sini hari ini.
Kursus yang julung kali diadakan itu bagi memberikan pendedahan terutama ADUN-ADUN baharu dalam aspek pentadbiran negeri, hubungan dengan Pusat, hak dan keistimewaan mereka di samping perjalanan DUN agar mendapat kefahaman dan gambaran yang jelas.
Yahaya menjelaskan, ini juga meliputi bagaimana mereka berperanan, dan dalam masa sama memberi tumpuan kepada soal protokol supaya para wakil rakyat mereka mendapat maklumat jelas berkaitan adat istiadat istana, pemakaian dan sebagainya.
Beliau turut menyentuh, dalam proses penambahbaikan yang akan dibuat oleh DUN sebagai badan perundangan negeri, beberapa pakar undang-undang telah diminta untuk mengkaji dan membuat perakuan perkara yang boleh dilaksanakan.
Yahaya antara lain menarik perhatian mengenai penubuhan jawatankuasa pemilihan dan jawatankuasa hisbah yang supaya perjalanan pihak eksekutif turut dipantau oleh badan legislatif. – UTUSAN ONLINE











