KUALA LUMPUR 30 Ogos – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sedar dirinya tidak popular dalam kalangan pemandu teksi namun akan terus berusaha membela nasib golongan itu.
Kata beliau, walaupun keputusan kerajaan untuk terus membenarkan operasi syarikat e-hailing tidak digemari pemandu teksi, pihaknya tidak akan mengabaikan kebajikan mereka.
Sehubungan itu, kata beliau, pihak kementerian akan terus merangka strategi untuk meningkatkan taraf hidup golongan tersebut.
“Saya tahu dalam kalangan pemandu teksi saya tidak popular, tetapi tidak mengapa. Kita bukan mahu mencari populariti. Kita mahu membantu untuk kita sama-sama maju ke hadapan.
“Kerajaan berterus-terang bahawa kita akan membenarkan e-hailing, tetapi kita tidak akan sesekali melupakan pemandu teksi,” katanya dalam majlis penyerahan surat tawaran kelulusan teksi individu di Ibu pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE











