KUALA LUMPUR 14 Ogos – Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail meminta Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid supaya mengemukakan bukti jika benar ada campur tangan pihak tertentu yang menghalang pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, sedangkan perkara tersebut sudah dibincang serta dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini.
“Memandangkan sumber tersebut datang daripada Ahli Parlimen Kapar, adalah lebih baik tanya beliau,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2018 di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Abdullah Sani mendakwa usaha itu digerakkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, menerusi beberapa kenyataanya sebelum ini yang dilihat sebagai ‘campur tangan luar biasa’.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga menafikan kemungkinan tindakan Abdullah Sani itu akan memporak-perandakan kerjasama Pakatan Harapan. – UTUSAN ONLINE











