KABUL 14 Ogos – Kumpulan Taliban telah menawan markas tentera Afghanistan di Chenayeeha, Ghormach, wilayah Faryab, utara Afghanistan selepas pertempuran sengit selama beberapa hari menyaksikan sekurang-kurangnya 14 anggota tentera terkorban manakala 15 lagi cedera.
Kejayaan itu dicapai kumpulan Taliban ketika satu lagi pertempuran berlaku antara kedua-dua pihak di bandar Ghazni yang berlangsung sejak Khamis lalu.
Tentera kerajaan berusaha menghalang kemaraan Taliban selepas tentera Pertubuhan Perjanjian Negara Atlantik (NATO) berundur pada 2014.
Menurut jurucakap tentera di utara Afghanistan, Mohammad Hanif Rezaee, kira-kira 100 anggota tentera berada di markas itu ketika serangan pertama dilancarkan.
“Ini satu tragedi apabila markas ini jatuh ke tangan musuh. Beberapa anggota tentera terbunuh, ada yang diculik manakala yang lain melarikan diri ke bukit berhampiran,’’ katanya kepada AFP.
Ahli Parlimen Faryab, Hashim Otaq berkata, seramai 14 anggota tentera terbunuh dan 40 lagi ditawan oleh Taliban di markas tersebut.
Ketua wilayah Faryab, Mohammad Tahir Rahmani berkata, kumpulan militan itu turut merampas kereta kebal dan senjata dalam pertempuran yang bermula Ahad lalu.
Beliau berkata, markas itu ditawan selepas rayuan anggota tentera untuk mendapatkan bantuan udara dari Kabul tidak dilayan kerana terdapat pertempuran lain di bandar Ghazni.
Seorang pegawai wilayah itu pula memberitahu, Taliban berjaya menawan 40 anggota tentera tetapi seramai 30 anggota kumpulan tersebut terbunuh dalam pertempuran berkenaan.
Sementara itu, penduduk yang melarikan diri dari Ghazni, ibu negeri wilayah itu, memberitahu bahawa Taliban telah memotong talian telekomunikasi, bekalan elektrik dan air manakala pihak hospital mengalami kekurangan bekalan ubat selain kedai, rumah dan bangunan kerajaan musnah.
Menteri Pertahanan, Tariq Shah Bahrami berkata, kira-kira 100 anggota keselamatan terbunuh dalam pertempuran sengit termasuk antara 20 sehingga 30 orang awam. – Reuters/Al-Jazeera
Tariq turut memberitahu, seramai 194 anggota Taliban termasuk 12 komander tertinggi turut terbunuh terutama semasa serangan udara AS. – Reuters/Al-Jazeera











