JAKARTA 20 Ogos – Raja renang gaya bebas China, Sun Yang melengkapkan karier gemilangnya selepas merangkul pingat emas dalam Sukan Asia 2018.
Pemenang tiga pingat emas Sukan Olimpik dan juara dunia itu menyertai temasya di Jakarta-Palembang dengan misi memburu lima pingat emas dan memulakan kempennya seperti diramalkan apabila meraih pingat emas dalam acara 200m gaya bebas dengan catatan 45.43s hari ini.
Kejayaan hari ini lebih manis kerana dia berjaya melunaskan dendam ke atas Kosuke Higano dari Jepun yang meranapkan impiannya empat tahun lalu di Incheon.
Diberi nama jolokan King of Freestyle dan Underwater Meteor, Sun Yang memasuki Pusat Akuatik Bung Karno dengan memakai pakaian berwarna kuning terang sambil melambai-lambai ke arah penonton bagi memberi gambaran bahawa dia adalah raja di dalam acara itu.
Jelas sekali, tiada perenang lain mampu menandinginya selepas dia meninggalkan pemenang pingat perak Katsuhiro Matsumoto dari Jepun dengan perbezaan lebih dari satu saat.
“Ini adalah kejayaan yang saya impikan selama ini selepas menantikan peluang ini selama lapan tahun.
“Kejayaan ini menandakan bahawa saya sudah melengkapkan semua Grand Slam Emas iaitu pingat emas Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia dan Sukan Asia.
“Semuanya berjalan dengan sempurna, mimpi menjadi kenayataan dan sangat luar biasa,” katanya kepada pemberita.
Kejayaan itu sememangnya berharga buat dirinya terutama selepas dia digantung selama tiga bulan pada 2014 kerana positif bahan perangsang trimetazidine.
Pada waktu itu, Sun Yang menjelaskan bahawa bahan itu diberikan oleh doktor bagi merawat masalah otot jantung yang dialaminya sejak 2008 dan tidak sedar bahawa dadah itu adalah bahan terlarang. – UTUSAN











