PETALING JAYA – Calon Pas, Dr. Halimah Ali mahu menggunakan pengalamannya sebagai bekas Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan negeri Selangor dalam membantu mengatasi masalah sosial di Seri Setia di sini sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut pada 8 September ini.
Beliau berkata, terdapat legasinya yang ditinggalkan DUN Seri Setia ketika berkhidmat sebagai Exco kerajaan negeri sebelum ini antaranya penubuhan pusat induk menangani masalah sosial.
“Ini kerana kita dapati isu-isu gejala sosial agak banyak di kawasan Desa Mentari serta masalah sosioekonomi yang rendah, tekanan dan dapat dilihat tempat letak kereta yang sangat tidak sistematik,” katanya dalam temu bual bersama portal berita Harakahdaily kelmarin.
Halimah berkata, sebagai bekas Exco yang mengendalikan potfolio pendidikan, beliau pernah berkesempatan melawat sekolah-sekolah dan mengendalikan pelbagai bantuan seperti Skim Tunas dan Skim Bantuan Tadika.
Beliau berkata, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di DUN Seri Setia, pihaknya akan bertindak menyuarakan isu-isu rakyat pada sidang DUN Selangor.
Katanya, rakyat mahu melihat kerajaan yang adil, tiada korupsi dan tidak berat sebelah seperti mana yang dibantah dan dilawan sebelum ini oleh mereka yang ada dalam Pakatan Harapan sekarang.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











