Streram saman SPR dakwa gagal tunai tanggungjawab - Utusan Malaysia

Streram saman SPR dakwa gagal tunai tanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Calon PKR, Dr. S. Streram bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di kawasan Parlimen Rembau telah memfailkan saman terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN tersebut dan satu lagi untuk menuntut ganti rugi RM5 juta berhubung dakwaan gagal melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Pilihan Raya 1958.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Mei lalu, Streram selaku pihak plaintif mendakwa, Amino Agos Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dinamakan sebagai defendan pertama dan defendan kedua tidak memberitahu beliau bahawa tag nama atau pas masuk untuk calon atau wakilnya diperlukan untuk masuk ke dalam dewan pencalonan pada 28 April lalu.

Ekoran kegagalan pihak defendan melaksanakan tanggungjawab tersebut, Streram mendakwa tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan untuk menyerahkan borang pencalonan bersama dengan pencadang dan penyokongnya.

Plaintif mendakwa, mendapat tahu bahawa calon Barisan Nasional (BN) DUN Rantau N27 telah menang tanpa tanpa bertanding apabila SPR membuat pengumuman di tempat pencalonan pada hari tersebut.

Peguam Rizan Iswat Mohd. Nor yang mewakili pihak plaintif memberitahu pemberita, Pesuruhjaya Kehakiman, Darryl Goon Siew Chye menetapkan 3 September ini untuk mendengar hujahan pihak defendan bagi membatalkan saman tersebut.

Pihak defendan memohon supaya keseluruhan tuntutan saman pihak plaintif dibatalkan atas alasan mahkamah itu tiada bidang kuasa untuk mendengar isu tersebut kerana melibatkan undang-undang pilihanraya dan hanya boleh didengar oleh hakim pilihanraya yang mendengar Petisyen Pilihan Raya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini