LONDON – Pemain tengah Tottenham Hotspur, Eric Dier menegaskan mereka sedia menutup mulut pengkritik selepas skuad kendalian Mauricio Pochettino itu gagal membawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan kali ini.
Spurs merupakan satu-satunya pasukan Liga Perdana England (EPL) yang gagal mendapatkan pemain baharu bagi menghadapi saingan musim ini selepas kekurangan dana gara-gara perlu menampung kos pembinaan stadium baharu.
Justeru, Dier percaya Spurs mampu menutup mulut pengkritik yang mendakwa mereka masih ketinggalan dengan pasukan-pasukan lain dari segi kualiti pemain.
“Cabaran utama kami musim ini adalah untuk membuktikan pengkritik-pengkritik di luar sana bahawa tanggapan mereka terhadap kami salah. Walaupun tidak mendapatkan pemain baharu, namun kami sudah memiliki satu skuad yang lengkap.
“Bukannya mudah untuk mendapatkan pemain baharu kerana ia perlu bersesuaian dengan corak permainan sesebuah pasukan. Kebanyakan pemain-pemain yang dibawa masuk kelab lain tidak jauh bezanya dengan pemain sedia ada,” kata Dier.
Tambah pemain antarabangsa England itu lagi, setiap permain sudah mengenali satu sama lain bagi tempoh yang lama, sekali gus mampu membantu mereka untuk menampilkan aksi terbaik.
“Kami sudah menjalani latihan bersama-sama bagi tempoh yang lama, jadi masing-masing sudah biasa dengan corak permainan Spurs. Saya percaya kami mampu bersaing dengan pasukan-pasukan besar yang lain,” ujarnya. – Agensi











