KUALA LUMPUR 18 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan akan berlaku rombakan melibatkan beberapa pegawai kanan di bahagian siasatan dan perisikan agensi itu.
SPRM dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, dakwaan yang dibuat menerusi laporan sebuah akhbar tempatan itu dianggap sebagai tidak bertanggungjawab kerana ditulis tanpa sumber sahih serta dipercayai hanya berdasarkan maklumat tular.
“Laporan ini boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan pegawai SPRM serta berkemungkinan diputar belit sekali gus mencemarkan imej SPRM dan menimbulkan keraguan masyarakat.
“Sehubungan itu, SPRM memohon agar pihak media mendapatkan maklumat sahih terlebih dahulu sebelum melaporkan berita kepada umum,” kata kenyataan tersebut.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan kepemimpinan tertinggi SPRM dijangka dirombak dalam masa terdekat membabitkan beberapa pegawai kanan terutama di bahagian siasatan dan perisikan yang akan dihantar ke agensi penguatkuasaan lain.
Sumber akhbar tersebut berkata, nama-nama pegawai terbabit beberapa kali dihantar ke pejabat Perdana Menteri sebelum ini namun senarai terbaharu dipersetujui selepas Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Syukri Abdull menyerahkannya dua minggu lalu.
Difahamkan, rombakan pegawai kanan itu adalah bagi mengisi jawatan tertinggi di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC).
Jawatan yang dikosongkan pegawai kanan SPRM berkenaan pula didakwa akan diisi oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid yang sebelum ini pernah memegang jawatan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundangan SPRM dan Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Idris Zaharudin.











