JAKARTA, Indonesia – Skuad hoki negara tidak berdepan sebarang tekanan pada perlawanan pembukaan Kumpulan B selepas berpesta gol dengan menumbangkan Kazakhstan 16-2 di Padang Hoki Gelora Bung Karno semalam.
Skuad hoki negara yang menghuni ranking ke-12 dunia ternyata tidak berdepan masalah besar untuk ‘membaham’ pasukan ke-86 dunia itu.
Ketua Jurulatih negara, Stephen Van Huizen berpuas hati dengan kemenangan sulung itu dan berharap anak-anak buahnya tampil lebih cemerlang pada perlawanan kedua menentang Thailand esok.
“Kemenangan ini baik untuk pemain bagi menyesuaikan diri pada perlawanan pembukaan. Apa yang penting pemain dapat menjaringkan gol, sekali gus mampu meningkatkan moral mereka secara keseluruhan.
“Saya akui mereka bermain dengan begitu sempurna di semua posisi tetapi terdapat beberapa kelemahan yang saya lihat perlu diperbaiki,” katanya sejurus tamat perlawanan semalam.
Mengulas mengenai perlawanan kedua menentang Thailand, Van Huizen menuntut skuad kendaliannya itu meraih kemenangan sebelum berdepan pasukan pilihan seperti Pakistan (ke-13 dunia) dan Bangladesh (ke-31 dunia).
“Kita perlu menewaskan Thailand kerana selepas ini saya yakin kita akan berdepan dengan pasukan yang sukar. Apapun kita akan melakukan persiapan secukupnya,” ujarnya.
Pada saingan tersebut, pujian harus diberikan kepada Muhammad Razie Abd. Rahim selepas menjaringkan lima gol dan Mohd. Fitri Saari melakukan hatrik.
Baki lapan gol negara diperoleh menerusi Faiz Helmi Jali pada minit kelima, Muhammad Aiman Nik Rozemi (m-8,m-12) Muhammad Shahril Saabah (m-19, m-20), Meor Muhamad Azuan Hasan (m-22), Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (m-30) dan Tengku Ahmad Tajuddin (m-37).
Kazakhstan hanya berkesempatan meraih dua gol sagu hati menerusi Aman Yelubayev selepas berjaya menjaringkan gol menerusi pukulan penalti pada minit ke-13 dan Ilgam Abdulabayev (m-54).











