KUALA LUMPUR 14 Ogos -–Sirim Bhd. berada pada kedudukan yang tepat untuk menerajui industri Malaysia ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, Sirim akan terus menyokong aspirasi dan usaha kerajaan dalam mengu- bah perniagaan Malaysia untuk menghadapi cabaran Industri 4.0.
Beliau berkata, Sirim berazam untuk memanfaatkan Program Pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) SIRIM serta Industri 4.0 dalam Additive Manufacturing, Artificial Intelligence, Smart Manufacturing dan Internet of Things (IOT).
“Antara bidang kerjasama termasuk pembangunan dan penambahbaikan keupayaan dan kapasiti bateri cas semula berasaskan lithium ion untuk menggantikan bateri asid plumbum di pasaran automotif, pembangunan teknologi kenderaan hijau termasuk bateri untuk basikal dan motosikal serta pembangunan bateri sodium ion sebagai alternatif kepada bateri lithium ion.
“Bidang usaha sama lain termasuk Prototaip Pantas dan percetakan tiga dimensi untuk pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan kemudahan Pengesahan Kelulusan Jenis Kenderaan untuk e-mobiliti seperti yang dimandatkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sirim dengan Go Automobile Manufacturing Sdn. Bhd. (GAM) bagi membentuk kerjasama jangka panjang untuk membangunkan industri automotif negara.
Turut hadir, Naib Presiden Penyelidikan Perindustrian SIRIM, Ir. Dr. Mohamad Jamil Sulaiman dan Pengarah Eksekutif Go Auto, Wan Ahmad Wan Omar.
Ahmad Fadzil berkata, SIRIM menyambut baik perkongsian itu untuk terus menghubungkan teknologi kenderaan dan mengubah pengalaman pemanduan di Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Go Auto Group of Companies, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata, kerjasama strategik itu merangkumi empat bidang utama iaitu pembangunan dan peningkatan produk, teknologi, tenaga manusia dan pasaran atau industri.
Katanya, usaha sama itu membolehkan GAM mengakses kemudahan penyelidikan SIRIM, manakala kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam kepakaran teknikal, pemindahan teknologi dan latihan teknikal bagi melaksanakan projek atau produk di bawah perkongsian.











