SIFU PERMAINAN VIDEO FIFA - Utusan Malaysia

SIFU PERMAINAN VIDEO FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA pemain bola sepak mengelecek bola dengan kaki, berbeza pula dengan Nur Amirul Afandi, 23, yang tangkas ‘menggelecek’ bola dengan jari-jemarinya. Lebih hebat, jika di padang memerlukan 11 pemain, untuk anak muda ini memadai dia seorang.

Mungkin dilihat tidak sukar kerana tidak perlu ‘basah ketiak’ menjalani latihan di tengah-tengah hujan dan panas, namun strategi dan taktikal sama seperti bermain di padang.

Bercakap soal latihan, Nur Amirul juga menghabiskan masa selama lapan jam di depan skrin permainan konsol video setiap hari dengan bola matanya perlu menumpukan sepenuhnya pada perlawanan, jika leka sedikit, kalah jawapannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengalaman bermain permainan video FIFA sejak berusia tujuh tahun, membolehkan anak muda itu merangkul 35 kali kejuaraan dalam 60 pertandingan yang disertai sepanjang tempoh empat tahun.

Lebih membanggakan, dia berjaya mengungguli tiga tahun berturut-turut kejohanan besar iaitu Kejohanan Sukan Elektronik Asia Tenggara (AGES) 2016, Kejohanan Terbuka Asia 2017 dan Virtuelle Bundesliga Southeast Asia Qualifier 2018.

Dia juga pernah mewakili Asia Tenggara ke kejohanan peringkat dunia dalam kejohanan FIFA17 pada Piala Dunia Sukan Elektronik 2016 (ESWC) di Paris, Perancis dan di Jerman pada tahun ini.

Maka tidak hairan apabila anak jati Kuala Lumpur ini, menjadi inspirasi golongan muda yang mahu berjinak-jinak dalam dunia e-sukan (sukan bertemakan permainan video).

Ini selari dengan aspirasi negara mahu membangunkan bidang e-sukan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Dia mungkin tidak popular sebagai pemain bola sepak di padang, namun di platform bola sepak digital, Nur Amirul atau lebih dikenali dengan nama Amtuah, menjadi tumpuan dan idola mereka yang berada dalam bidang e-sukan.

Bergelar pemain video permainan FIFA sepenuh masa ketika ini, anak kedua daripada empat beradik ini memberitahu, semuanya bermula ketika usianya mencecah 20 tahun apabila dia mengalami kecederaan otot ketika mewakili pasukan bola sepak di sekolah.

“Selepas kecederaan itu, hampir tiga bulan saya tidak dapat turun ke padang menyebabkan saya menghabiskan masa untuk ‘bermain’ perlawanan bola di skrin. Ketika itu, saya mula mencari maklumat tentang pertandingan melibatkan FIFA.

“Kejohanan pertama saya sertai adalah pada 2014 dan saya mendapat tempat ke-32. Pada mula, memang rasa putus asa dan merasakan saya tidak mungkin boleh berjaya.

“Pun begitu, selepas dua minggu menyertai pertandingan pertama, saya masuk pula pertandingan kedua. Saya terkejut sebab muncul juara, mengalahkan pemain senior serta juara terdahulu yang lebih hebat,” jelasnya.

Main permainan video kerana dilarang keluar rumah

MENCERITAKAN bagaimana dia jatuh hati dalam bidang permainan video, Nur Amirul memberitahu, semuanya bermula ketika dia berusia tujuh tahun.

Membesar di kawasan perumahan padat penduduk di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, ibunya, Nurhalida Abdul Latif, 48, dan bapa, Afandi Nordin, 50, cukup bimbang anak-anak terjebak gejala sosial.

Sebab itu, mereka kurang membenarkan anak-anak keluar bermain di luar.

“Setiap hari saya dibenarkan bermain permainan video selama mana saya mahu, tetapi dengan syarat perlu menumpukan sepenuh masa ketika sesi ulang kaji pelajaran selama dua jam tanpa sebarang gangguan.

“Ibu dan ayah tidak pernah menghalang kami melakukan hobi masing-masing, tetapi kami harus cemerlang dalam pelajaran, malah mereka lebih selesa kami berada di rumah daripada berpeleseran di luar,” katanya.

Jelas pemegang Ijazah Perbankan dan Kewangan Islam dari sebuah universiti awam ini lagi, cabaran lebih sukar ketika di universiti kerana perlu membahagikan masa antara jadual latihan bermain permainan video dan kuliah.

Tiada pilihan, Nur Amirul, perlu menumpukan sepenuh perhatian ketika kuliah, kerana selepas itu dia akan menghabiskan masa untuk berlatih permainan video.

Ditanya mengenai cabaran lain, jelasnya, mengalami situasi lesu jet (jet lag) merupakan keadaan yang perlu dihadapi kerana sering bertanding di luar negara.

Justeru, dia perlu cukup tidur lapan jam serta mempunyai disiplin yang ketat setiap hari.

Berpeluang bermain bersama pemain-pemain tersohor dunia dalam bidang berkenaan, sebahagian pengalaman manis buat Nur Amirul sepanjang beraksi di pentas dunia.

Walaupun bidangnya sering mendapat persepsi negatif seperti dianggap membuang masa, anak muda ini mahu kejayaannya dalam bidang e-sukan memberi spektrum baharu kepada generasi muda yang mahu serius dalam bidang tersebut.

“Walaupun bermain permainan video lebih sinonim dengan perkara negatif, tetapi jika bijak mengambil peluang ia boleh menghasilkan pendapatan yang lumayan,” ujarnya bercita-cita mahu bergelar jurulatih pada usia 28.

Apa yang pasti, kebimbangan tidak boleh ‘cari makan’ hanya bermain permainan video tinggal ‘mitos’ kerana pendapatan Nur Amirul sendiri lebih daripada gaji seorang akauntan melalui hadiah kemenangan dan penajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN