PUTRAJAYA 17 Ogos – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui kerajaan pimpinannya memiliki sifat-sifat pembangkang berikutan peralihan kerajaan hanya berlaku selepas 61 tahun negara merdeka.
Ujar beliau, sifat-sifat berkenaan bagaimanapun telah dapat dikikis dalam tempoh terdekat ini kerana anggota pentadbirannya telah menyedari tanggungjawab selaku kerajaan.
“Kita tahu bahawa baru-baru ini kita telah ada perubahan kerajaan dan perubahan ini dilakukan setelah 61 tahun pihak pembangkang tidak dapat mendirikan kerajaan.
“Dengan itu, mereka mempunyai sifat-sifat pembangkang apabila mereka menjadi kerajaan, sifat-sifat yang lama ini muncul dan mempengaruhi fikiran mereka.
“Tetapi dalam jangka masa yang pendek juga, mereka sudah buat penyesuaian, sekarang ini mereka sedar mereka sudah jadi pemerintah,” katanya berucap dalam Majlis Penyerahan Felo Perdana 2018 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan barisan menteri Kabinet. – UTUSAN ONLINE











