KEJADIAN dua buah lori tersangkut di atas Jambatan Sungai Kecil baru-baru ini sehingga menyebabkan perjalanan dari Bandar Pontian ke Johor Bahru, Kukup Pusat Perdagangan terganggu wajar mendapat perhatian semua pihak.
Masyarakat Pontian tertanya-tanya tentang perkembangan projek pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Pontian kecil ke Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak yang hingga kini belum menjadi kenyataan dan hanya tiang konkrit dan ‘beam’ yang ada.
Projek menelan kos RM5 juta yang dilaksanakan pada 2009 mengalami pelbagai masalah dan kerenah sesetengah pihak walaupun kerajaan telah mengambil sikap berlembut bagi menangani masalah tersebut.
Pihak berkuasa seharusnya bertegas dan tidak lagi bertolak ansur dengan pelbagai alasan yang diberikan walaupun kerajaan telah menyediakan pendaratan ikan yang baharu di Pusat Perdagangan Pontian tetapi masih gagal memuaskan hati mereka.
Pembinaan jambatan kedua penting bagi mengatasi masalah kesesakan terutama pada musim perayaan kepada pengguna menuju ke Johor Bahru, Kukup mahupun ke Pusat Perdagangan Pontian yang turut menempatkan Terminal Pengangkutan Awam dan sebagainya.
Persoalannya bila projek tersebut akan dilaksanakan sekiranya dalam kalangan masyarakat hanya mementingkan diri dan tidak mengambil kira kepentingan keseluruhan masyarakat.
Projek pembinaan jambatan baharu itu terkandung dalam pembangunan tebus guna Pusat Perdagangan Pontian dengan pelaksanaannya telah berakhir pada 2017 sejak kawasan tersebut dibangunkan pada 1992.
Bosan Menunggu
Pak Ngah Pontian











