KANGAR 13 Ogos – Pengeluar sarung tangan milik Jepun, Shorubber (M) Sdn. Bhd. telah melancarkan Program Inovasi Lima Tahun untuk memastikan syarikat itu kekal sebagai antara pelabur terbesar di negeri ini.
Pengarah Urusannya, Keizo Sato berkata, di bawah program itu, syarikat tersebut akan menambah lebih banyak penggunaan mesin baharu bagi menggantikan yang lama dan berusia.
Kata beliau, menerusi penggunaan mesin-mesin yang baharu itu, bilangan pekerja dapat dioptimumkan sekali gus mengurangkan kebergantungan syarikat kepada warga asing.
“Syarikat ini telah memulakan operasinya sejak 1993 dan tidak lama lagi mencapai usia 30 tahun. Sudah tentu teknologi (mesin) yang sedia ada perlu diganti.
“Ketika ini, kos pekerja warga asing didapati lebih tinggi berbanding rakyat tempatan berikutan pelbagai faktor termasuk disebabkan kadar tukaran mata wang asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri jamuan makan tengah hari anjuran syarikat itu dengan rakan strategiknya di sebuah hotel, di sini hari ini.
Majlis jamuan itu diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan yang menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Mengulas lebih lanjut, Sato memberitahu, penggunaan pekerja warga asing seperti Nepal, Vietnam dan Sri Lanka di syarikat itu telah berkurangan kira-kira 50 peratus.
Katanya, ketika ini seramai 534 pekerja warga asing bekerja di kilang syarikat itu berbanding kira-kira 1,000 orang pada 2014.
Untuk rekod, Shorubber (M) Sdn. Bhd., antara pengeluar sarung tangan terbesar di dunia menghasilkan lebih 2,000 jenis sarung tangan khusus untuk industri bagi tujuan dieksport. – UTUSAN ONLINE











