KUALA LUMPUR 2 Ogos – Tan Sri Shahrir Abdul Samad telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman RM100 juta oleh pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) iaitu Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) berhubung beberapa siri kenyataan yang dibuat terhadap syarikat tersebut yang didakwa berunsur fitnah.
Kenyataan tersebut membabitkan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) apabila agensi tersebut dikatakan berisiko kehilangan tanah miliknya di Jalan Semarak menerusi transaksi pindah milik yang didakwa diragui sejak 2015.
Peguam Farah Shuhadah Razali yang mewakili Shahrir memberitahu pemberita, pihaknya memohon membatalkan saman itu atas alasan pernyataan tuntutan SPSB tidak mengikut aturan yang sepatutnya dan syarikat itu tiada asas untuk menuntut ganti rugi RM100 juta daripada anak guamnya.
Menurut Farah Shuhadah, pihaknya juga memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini untuk meminda pernyataan pembelaan Shahrir.
Namun begitu, SPSB selaku pihak plaintif menurut peguam itu, telah memfailkan permohonan untuk membatalkan pembelaan Shahrir yang dinamakan sebagai pihak defendan.
“Timbalan Pendaftar, Catherine Nicholas menetapkan 1 Oktober ini bagi pengurusan kes ketiga-tiga permohonan tersebut,” ujar Farah Shuhadah.
Pihak plaintif diwakili peguam Priscilla Tan yang menyebut bagi pihak firma guaman Tetuan Reza Rahim & Rajivan.
Pada 4 Jun lalu, Pengarah Pembangunan Perniagaan SPSB, Datuk Marina Hashim menyaman Shahrir atas kapasiti peribadi beliau yang ketika itu Pengerusi Felda supaya bertanggungjawab atas kenyataannya yang didakwa tidak benar.
Selain menuntut ganti rugi, pihak plaintif menuntut perintah injunksi supaya tidak membuat sebarang kenyataan mengenai syarikat itu.
Pihak plaintif juga menuntut agar pihak defendan memberi akujanji bertulis untuk tidak mengulangi kenyataan beliau dan membuat permohonan maaf kepada SPSB.
Pihak plaintif mendakwa, kenyataan yang dibuat oleh Shahrir merupakan suatu pernyataan yang salah sehingga menjatuhkan reputasi SPSB dan mengakibatkan syarikat itu kehilangan projek-projek sedang dilaksanakan.
Kenyataan-kenyataan tersebut didakwa dibuat oleh Shahrir sejak November 2017 sehingga Mac lalu.
Beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru yang dilantik sebagai Pengerusi Felda pada 6 Januari 2017 sebelum mengesahkan melepaskan jawatannya itu pada 14 Mei lalu. -UTUSAN ONLINE










