MELAKA 30 Ogos – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri menahan dua lelaki yang cuba menyeludup minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Bachang di sini petang ini.
Dalam serbuan pukul 4.54 petang itu, kedua-dua suspek yang berusia 50 dan 62 tahun gagal mengemukakan permit pembelian diesel yang diisi di dalam dua tong dan sebuah tangki berkapasiti 1,000 liter.
Pengarah PPDNHEP negeri, Jaiya Abu berkata, pemeriksaan lanjut pada dua buah lori yang digunakan suspek menemukan lima lagi tong kosong berkapasiti 200 liter dipercayai untuk diisi bahan bakar berkenaan.
“Berikutan tangkapan itu, pihak kami merampas sejumlah 388 liter diesel dan dua buah lori terbabit dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM25,000.
“Pemeriksaan mendapati lori tersebut didaftarkan di bawah syarikat namun kita masih meneruskan siasatan dan tidak menolak kemungkinan mereka menggunakan lori berkenaan untuk mengaburi jenayah mereka, ” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai serbuan itu di sini sebentar tadi.
Menurut Jaiya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Perkara 3, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 gang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM15, 000 atau kedua-duanya serta denda tidak melebihi RM25, 000 bagi perbadanan atau syarikat.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sebanyak 11 kes dicatatkan melibatkan pelbagai jenis barang kawalan seperti diesel, tong gas petroleum cecair , gula dan minyak masak di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM74,725. – UTUSAN ONLINE











