Selepas 61 tahun, perpaduan semakin ampuh atau rapuh? - Utusan Malaysia

Selepas 61 tahun, perpaduan semakin ampuh atau rapuh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK sampai tiga minggu, kita akan menyambut Hari Kebangsaan 2018, menandakan 61 tahun negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Dalam tempoh ini, Malaysia telah menempuh pelbagai rintangan dan kejayaan. Tidak banyak laluan sukar yang dihadapi ke­cuali diuji dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Peristiwa yang masih terpahat dalam ingatan terutama dalam kalangan mereka yang sudah menjangkau usia emas itu banyak mengajar erti perpaduan. Pengajaran tragedi seumpama itu perlu diselak kembali untuk dijadikan panduan. Sejarah hitam itu perlu menjadi iktibar bagi mengelakkan negara kacau bilau dan musnah akibat sengketa kaum.

Sayangilah negara ini, sesuai dengan tema Hari Kebangsaan, Sayangi Malaysiaku. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu mengekalkan semangat perpaduan bagi me­ngekalkan keharmonian negara. Logo ciptaan Nik Zulkifli Nik Hitam (tahniah Selak kepada Nik Zulkifli, rakan Dhuyuf66 2014) itu menggambarkan rakyat melakukan gerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati di hadapan menyatukan mereka. Ia bermaksud warganegara Malaysia terdiri daripada berbilang bangsa hidup dalam harmoni, seia sekata, bersatu padu dan kasih sayang kepada negara.

Diharapkan logo dan tema itu tidak tinggal sekadar hiasan bagi memeriahkan sambutan tetapi perlu diterjemahkan dalam konteks sebenarnya. Sebagai sebuah negara demokrasi, merdeka bukan bererti bebas melakukan sesuatu sehingga boleh menjejaskan keharmonian. Perlembagaan Persekutuan perlu menjadi paksi kepada keharmonian masyarakat. Hindarkan diri daripada melakukan sesuatu sama ada tindakan atau tutur kata yang boleh menimbulkan rasa sensitif dalam kalangan masyarakat. Perpaduan adalah aset utama yang perlu terus dipupuk bagi mengekalkan kestabilan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas 61 tahun merdeka, adakah perpaduan di negara kita semakin kukuh atau rapuh? Ramai ‘orang lama’ yang menganggap semangat perpaduan itu masih ada tetapi tidak seperti era 1960-an. Ketika itu, masyarakat Melayu, Cina dan India boleh dianggap mempunyai ikatan perpaduan yang baik. Masing-masing saling hormat menghormati. Bagaimanapun suasana terus berubah mengikut masa.

Contohnya, selepas pilihan raya umum (PRU) lalu, banyak isu berkaitan kaum dan agama menjadi bahan perbahasan ter­utama melalui media sosial. Ada yang kadang-kadang berbentuk gurauan tetapi boleh mengguris perasaan dan menimbulkan keresahan. Isu-isu sensitif ini perlu diurus dengan baik kerana ia boleh mengancam keselamatan negara. Kebebasan bercakap terutama melalui media sosial menyebabkan rakyat tidak peduli lagi apa yang dibicarakan sehingga ke tahap mempersenda agama, bahasa dan kaum. Kenapa isu-isu ini te­rus dibahas? Adakah disebabkan kelemahan undang-undang?

Semuanya bergantung kepada sikap seseorang. Jika mereka tahu menghormati hak orang lain, maka tidak akan berlaku pertikaian sesuatu isu yang akhirnya membawa kepada mempersenda atau merendahkan hal-hal berkaitan, agama, budaya dan fahaman masing-masing. Amat malang untuk mewujudkan suasana harmoni di dalam negara, kerajaan terpaksa menggubal pelbagai undang-undang. Di manakah silapnya? Adakah sistem pendidikan kita dalam tempoh 10 atau 20 tahun lalu gagal mendidik anak-anak untuk menghormati hak orang lain? Mungkin ramai yang tidak menghayati perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan malahan tidak keterlaluan jika dikatakan mereka tidak peduli. Tidak ba­nyak pihak yang bersedia untuk memastikan setiap warganegara ini ‘hadam’ kontrak sosial dan apa yang termaktub di dalam perlembagaan.

Akhirnya mereka dengan mudah mempertikaikan sesuatu isu atas nama kebebasan. Ada ketikanya apabila sesuatu pihak mempertahankan soal kaum, bahasa dan agamanya, ada pula suara sumbang yang menyifatkan itu sebagai rasis atau perkauman. Persepsi buruk ini adalah di­sebabkan mereka tidak faham apa yang dimaksudkan dengan mempertahankan hak atau membangkitkan isu perkauman. Lihatlah faktor yang menyebabkan sesuatu pihak itu muncul dengan kenyataan-ke­nyataan yang mahu ‘mempertahankan hak’ tetapi disalah erti sebagai perkauman.

Sebenarnya, banyak langkah telah diambil untuk membendung unsur-unsur yang boleh menjejaskan perpaduan. Langkah itu terus diperkasakan. Baru-baru ini kerajaan bercadang menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (MPKR) bagi memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa, majlis itu bagi mempromosikan Malaysia di peringkat global sebagai model negara moderat yang berjaya menjaga keharmonian antara kaum dan agama. Majlis ini berfungsi sebagai platform untuk percambahan fikiran dan rekonsilasi antara kaum dan agama. Mujahid juga turut menyentuh mengenai Rang Undang-undang Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi membendung kes penghinaan agama. Melalui akta ini, sesiapa yang menghina mana-mana agama boleh diambil tindakan. Adakah akta mampu menyekat penghinaan? Kadang-kadang ada pihak yang sengaja membangkitkan isu berkaitan agama, seolah-olah mahu menguji tahap kesabaran penganut agama tertentu. Akhirnya jika tidak dapat diben­dung, akan mencetuskan provokasi yang berbahaya. Contohnya isu yang menyentuh Islam. Lihatlah bagaimana punca perbalahan berlaku. Cegahlah daripada berlarutan sehingga boleh menimbulkan tindak balas tidak baik.

Hakikatnya, kita boleh me­rangka atau mewujudkan pelbagai majlis, jawatankuasa, undang-undang dan macam-macam lagi tetapi sejauh mana keberkesanannya? Pemimpin di pelbagai peringkat sama ada berkaitan agama, kaum atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu me­nunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Mereka perlu mengekang perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat. Bertindaklah sebagai penasihat. Jangan se­ngaja membuka jalan mencurah minyak ke dalam api .

Tidak dinafikan, peranan memupuk perpaduan semakin mencabar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Rakyat tidak ada masa untuk bergaul sesama masyarakat sebaliknya lebih mesra dengan grup WhatsApp atau media sosial lain. Banyak perkara sensitif yang menyentuh agama dan kaum begitu mudah dizahirkan di laman sosial sama ada tulisan, kata-kata, lakaran, lukisan, karikatur dan simbol. Tindakan golongan ‘batu api’ itu amat berbahaya, umpama membaling bola api kepada khalayak. Ingatlah jika rakyat saling hormat menghormati dan tahu batas-batas sensitiviti agama, budaya dan kaum, maka perpaduan dapat diperkukuhkan. Justeru elak­kan sesuatu yang boleh mengguris perasaan atau menimbulkan kemarahan orang lain. Siapa pun kita, jagalah adab dan budaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN