PENJAGA gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md. Jalil tetap memberikan sokongan sepenuhnya kepada skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan untuk mengharungi Sukan Asia 2018 meskipun dia digugurkan daripada senarai akhir 20 pemain sehari sebelum skuad Datuk Ong Kim Swee berlepas ke Indonesia Isnin lalu.
Pemain berusia 21 tahun itu mendedahkan dia tidak menyangka dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad Kim Swee kerana sasarannya yang sebenar adalah pada tahun hadapan bagi mewakili skuad kebangsaan beraksi pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
Bagaimanapun, Khatul tetap merasakan ia adalah satu penghargaan yang besar buat dirinya selepas terpilih dalam senarai awal pemain B-23 kebangsaan dan mahukan kepercayaan tersebut dapat memberikan motivasi kepadanya untuk diterjemahkan kepada pasukan Kuala Lumpur.
“Saya tidak terasa hati dan kecewa apabila disingkirkan pada saat akhir malah ia adalah satu penghargaan dan pengalaman terbaik untuk saya beraksi lebih baik selepas ini.
“Saya juga tidak menyangka nama berada dalam senarai awal kerana impian dan sasaran saya adalah untuk beraksi di Manila tahun hadapan.
“Namun, sokongan tetap bersama skuad B-23 kerana merasakan saya tetap menjadi sebahagian daripada pasukan yang akan membuat perhitungan dengan Korea Selatan esok (malam ini).
“Saya mahukan pengalaman dan latihan sepanjang bersama Kim Swee dapat digunakan dengan sebaik mungkin bersama Kuala Lumpur untuk mengharungi kempen Piala Malaysia dan yang terdekat berdepan Perak hujung minggu ini,” katanya.
Sementara itu, pemain kelahiran Kedah tersebut juga mahu Kuala Lumpur berwaspada dengan kunjungan Perak di Cheras Ahad ini berikutan skuad The Bos Gaurus mempunyai misi untuk menang apabila mereka sebelum ini gagal mencatatkan sebarang kemenangan selepas mengharungi dua perlawanan.











