Satu sen pun tak berkira - Utusan Malaysia

Satu sen pun tak berkira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JANGAN sesekali salah anggap pada batang tubuhnya yang kecil ini, semangat juangnya juga turut mengecil. Sebenarnya di dalam jasad itu ada semangat juang yang tinggi, segunung misi yang perlu dilunaskan iaitu membahagiakan orang kesayangannya menerusi profesion seninya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Itu adalah azam yang sudah lama tertanam dalam sanubarinya sejak berusia 12 tahun lagi. Setiap ganjaran yang diperoleh lakonan bukan untuk dirinya seorang. Dia membahagikan rezeki yang ada mengikut keperluan adik-beradiknya yang lain.

Mudah kata, bintang filem Tentang Bulan ini juga tidak pernah berkira barang satu sen pun jumlah pelaburan yang dibuat untuk menyenangkan insan kesayangannya selama ini. Yang penting, mereka gembira.

Betapa murni hati Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 24, atau Elfira ini. Sanggup mengorbankan masa remaja dan zaman persekolahan semata-mata untuk mengirangkan hati insan kesayangannya. Berlainan dengan rakan-rakan sebayanya yang waktu itu bergantung sepenuhnya dengan kemewahan yang diwarisi orang tua mereka.

“Keputusan untuk bekerja di awal usia remaja itu berpunca daripada mama (panggilan buat ibu). Secara rahsia, saya nak bantu dia. Mama ibu tunggal. Sejak berusia enam tahun lagi, saya melihat sendiri macam mana dia bekerja kuat untuk menyara kami adik-beradik.

“Tak pernah sekalipun saya melihat dia bersenang lenang. Tiap-tiap hari ada saja yang disibukkan. Jika mama boleh berkorban untuk keluarga, saya yang anak sulung perempuan ini takkanlah tak boleh jadi macam dia,” kata Elfira mengenang cerita silam yang menjadikan hatinya waja pada hari ini.

Sesi latihan teater, Ali Baba The Muzikal yang dipentaskan di Istana Budaya pada 2006 menjadi titik permulaan baginya mengenal erti berdikari. Penyertaan dalam beberapa program kanak-kanak dan sejumlah drama seperti Qaleesya, Cinta Itu Buta, Persis dan Biar Mimpi Sampai Ke Bintang mengukuhkan namanya dalam industri lakonan tidak lama kemudian.

Semuanya berjalan lancar kerana berkat doa sang ibu, Filzah Yusoff, 52. Ya, wanita itulah yang banyak menyuntik semangat kepadanya untuk berdiri teguh pada hari ini. Dia yang paling banyak mengajar pelakon ini untuk menjadi kuat walaupun pernah hampir tumbang ditempuh cabaran anak seni sebelum ini.

“Saya adalah sumber rezeki utama dalam keluarga. Saya pikul tanggungjawab besar itu sejak kecil. Saya tidak pernah rosakkan kepercayaan yang telah diberikan. Setiap janji dibuat, saya tak pernah memungkirinya. Nanti orang dah tak percaya kita lagi.

“Contohnya masa di sekolah. Saya diberi pelepasan oleh cikgu untuk belajar separuh hari jika terikat dengan jadual penggambaran. Saya tak pernah abaikan pelajaran. Habis kerja, saya pergi tuisyen pula pada sebelah malam,” ujar bekas pelajar aliran sains Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Kuala Lumpur ini.

KAKAK MEMANG TERBAIK

PENGORBANAN yang dilakukan si kakak, begitu menarik hati si adik, Ahmad Ezzrin Loy, 21. Dalam apa jua perkara, Elfira mementingkan hubungan kekeluargaan dan menganggap itu sebagai kunci kejayaan seseorang untuk bertahan.

“Kakak menjadi contoh terbaik adik-beradik lain dan dia hanya fikir untuk menyenangkan hati kami saja. Tak pernah sekalipun dia mengeluh kerana kepenatan bekerja. Itu yang buat saya lebih hormat pada dia.

“Dia memang mewarisi perangai mama yang tak pernah duduk diam. Langsung juga tak nak mengalah malah dia berlumba-lumba untuk membuktikan kepada mama tentang kemampuan sebenar dia,” kata anak bongsu daripada empat adik-beradik ini.

Selain Elfira, Ezzrin mempunyai abang, Ahmad Ezzraa Loy, 27, Nurul Ezlisa Loy, 22, (kakak) dan seorang adik, Ahmad Evvraa Loy, 9, menerusi perkahwinan kedua bapa mereka, Ahmad Sabri Ariffin.

Secara tidak langsung telah menyebabkan Ezzrin turut sama terangsang untuk mengikut langkah seperti kakaknya itu. Selain hebat dalam lapangan seni, bidang perniagaan yang diceburi juga tidak kurang hebatnya. Ezzrin kini mengendalikan bisnes syarikat produksi, The Life Media yang diamanahkan oleh Elfira.

“Kakak tak fikir untuk kepentingan dia saja. Dia buka bisnes makanan dan jenama pakaian untuk kami adik-beradik turut sama berniaga. Pengorbanan kakak ini sangat besar dan bermakna buat kami.

“Dia memang contoh terbaik pelakon yang bekerja di awal usia muda dan kekal dalam kedudukannya,” kata pelakon drama Ayyad ini.

KISAH MAMA DI MATA ELFIRA, EZZRIN

  • Berkemampuan untuk bekerja lebih daripada satu pekerjaan pada satu sama. Selain kerja pejabat, wanita itu pernah melakukan kerja lain seperti katering, membuka taska dan menguruskan majlis.
  • Tidak pernah mendesak Elfira untuk serius dalam bidang seni. Sebaliknya memberi kebebasan kepadanya untuk memilih apa yang terbaik buat masa depannya.
  • Ezzrin pernah ditinggalkan berseorangan di rumah ketika berusia lima tahun. Pada ketika itu, adik-beradik lain bersekolah manakala ibunya pergi bekerja. Telefon bimbit yang hanya tertera nombor mama menjadi peneman dan melaporkan setiap saat aktiviti sementara menunggu kakak dan abangnya pulang dari sekolah.
  • Kalau mama dan Elfira bermasam muka, Ezzrin akan bertindak sebagai agen pendamai antara kedua-duanya. Caranya, dia akan memandu setiap seorang dan 
menanyakan masalah sebelum menyelesaikannya.
  • Mama dan Elfira tidak pernah 
berkongsi masalah. Masing-masing memendamkan segala permasalahan dan cara itu lebih elok dan selamat daripada mencetuskan rasa kerisauan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini