KUALA LUMPUR 18 Ogos- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon Pakatan Harapan (PH) dan MCA.
PH mempertaruhkan Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang, Wong Siew Ki dan bakal dicabar calon MCA, Tan Chee Teong.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Balakong Datuk Rosli Othman di pusat penamaaan calon di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat di sini hari ini.
Chee Teong menyerahkan kertas pencalonannya pada pukul 9.06 pagi manakala Siew Ki pada pukul 9.13 pagi.

PRK Balakong bakal menyaksikan buat pertama kalinya logo PH digunakan.
PRK Balakong akan diadakan pada 8 September ini berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee akibat kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Grand Saga, Cheras pada 20 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Tien Chee yang mewakili DAP menewaskan dua pesaingnya iaitu calon Barisan Nasional (BN) Lim Chin Wah dan calon Pas, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi. – UTUSAN ONLINE











