JURULATIH Felda United, B. Sathianathan berasa lega apabila pasukannya tidak berada dalam ‘kumpulan maut’ pada saingan Piala Malaysia 2018 yang akan bermula Sabtu ini.
Skuad The Fighters bakal berentap dalam Kumpulan B bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Melaka United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas majlis undian di Petaling Jaya kelmarin.
Sathianathan bagaimanapun enggan meletakkan sasaran awal kerana pasukannya bakal berdepan saingan dua pasukan dari Liga Super iaitu PKNS FC dan Melaka United.
“Kami akan berdepan dua pasukan Liga Super dan satu daripada Liga Premier iaitu PDRM, namun saya tidak anggap ia laluan mudah bagi kami.
“Status kami sebagai juara Liga Premier musim ini mungkin tidak memberi kesan kepada Melaka United dan PKNS FC kerana mereka telah mengharungi saingan yang lebih sengit dalam Liga Super,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, semua pemain perlu membuat persiapan rapi sebelum saingan Piala Malaysia bermula.
“Saya perlu meneliti prestasi pemain di semua posisi terutama serangan dan pertahanan kerana persembahan yang kurang konsisten ditonjolkan oleh pemain sebelum ini,” ujarnya. Beliau memberitahu, PKNS FC dan Melaka United menamatkan saingan Liga Super dengan prestasi yang baik.
“Kita juga baru sahaja berdepan PDRM pada 21 Julai lalu dengan mencatat keputusan seri 2-2 apabila pemain-pemain saya tidak beraksi dengan kemampuan sebenar,” jelasnya.
Tambahnya, beliau perlu membuat persiapan rapi sebelum menerima kunjungan Melaka United pada perlawanan pembukaan saingan Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Ahad ini.











