ALOR SETAR – Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 peringkat negeri Kedah berlangsung cukup meriah dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung di Dataran Medan Bandar di sini sejak pukul 7 pagi tadi.
Sambutan dimulakan sejurus keberangkatan tiba Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff pada pukul 9 pagi.
Berangkat sama ialah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah serta beberapa kerabat diraja lain.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Seramai hampir 3,000 peserta daripada 89 kontinjen menyertai istiadat perbarisan yang dimulakan dengan kontinjen pancaragam Kolej Tentera Udara Kepala Batas.- K! ONLINE











