PUTRAJAYA 20 Ogos – Pembatalan saman tertunggak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bernilai kira-kira RM435 juta dilakukan kerana perjanjian dahulu adalah berat sebelah dan sebarang kutipan yang akan dibuat tidak mendatangkan hasil kepada kerajaan.
![]() |
|
ANTHONY LOKE
|
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berikutan kerajaan terdahulu telah mengurangkan kadar saman daripada RM300 kepada RM150, kerajaan terikat untuk menyerahkan sepenuhnya hasil kutipan kepada dua syarikat pengendali sistem berkenaan.
Katanya, berdasarkan perjanjian, syarikat-syarikat berkenaan berhak mendapat dua tier bayaran iaitu RM16 untuk setiap saman dan tier kedua adalah 50 peratus dari nilai sebenar saman RM300.
“Bagi mereka yang mempersoalkan kerajaan hilang sumber pendapatan, ia tidak hilang pun sebab kalau kutip, kita tidak dapat pun hasil,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kelmarin, Anthony mengumumkan semua saman AES.yang dikeluarkan sejak 2012 dibatalkan melibatkan 3.1 juta saman dengan nilai bayaran kira-kira RM435 juta.
Menurut Anthony, selain perjanjian yang berat sebelah, kerajaan juga memutuskan untuk tidak menyambung kontrak syarikat pengendali AES kerana tidak bersetuju penswastaan terhadap tindakan penguatkuasaan.
“Saya boleh terima kritikan sesiapa tetapi saya tidak boleh terima kritikan daripada MCA terutamanya (Datuk) Wee Ka Siong yang berkata tidak adil kepada orang yang sudah membayar saman.
“Tetapi bekas Menteri Pengangkutan (Tan Sri Kong Cho Ha) yang menandatangani perjanjian ini dan kenapa (Presiden MCA yang juga bekas Menteri Pengangkutan) Datuk Seri Liow Tiong Lai membiarkan saman-saman ini tertunggak yang menunjukkan beliau tidak serius dan tidak buat apa-apa pun
“Kepada pemimpin-pemimpin MCA, sebelum bercakap, sila guna otak dahulu kerana apa dikatakan itu yang akan kembali kepada Menteri Pengangkutan dari MCA kerana tidak telus untuk memberitahu butiran perjanjian kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE












