BANGI – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah 29 saluran mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 8 September ini.
Pegawai pengurus PRK DUN Balakong, Datuk Rosli Othman berkata, penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan saluran mengundi di 17 pusat mengundi ialah 129 berbanding 100 saluran mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Penambahan ini bertujuan memberi keselesaan kepada pengundi yang akan hadir mengundi selain mengelakkan tempoh menunggu yang panjang.
“Kita juga dapat memberi peluang bagi lebih ramai pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya pada sesi taklimat kepada petugas media di Pusat Penamaan Calon PRK DUN Balakong, Dewan Utama Demense, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat di sini semalam.











