KUALA LUMPUR 16 Ogos – Kerajaan gabungan negeri Sabah yang diketuai oleh parti Warisan tidak bebas daripada parti-parti dari `Malaya’ kerana turut ditunjangi oleh DAP dan PKR.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sehubungan itu dakwaan Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bahawa tiada `Malaya’ dalam kerajaan negeri gabungan sekarang
tidak benar sama sekali kerana PKR dan DAP berasal dan diasaskan di Semenanjung.
Malah katanya, rakyat Sabah tahu bahawa kerajaan negeri sekarang ini bukanlah kerajaan gabungan Warisan dan UPKO semata-mata, tetapi kerajaan yang ditubuhkan hasil gabungan bersama Parti Warisan, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan UPKO.
Katanya, Warisan tidak mempunyai cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri sendiri, sebab itu mereka perlu bergabung dengan PKR dan DAP, dan kemudiannya UPKO.
“Parti Warisan tidak memenangi PRU-14. Ia terpaksa bergabungan dengan PKR dan DAP untuk seri dengan BN. Dan hanya dapat menubuhkan kerajaan negeri apabila bergabung dengan UPKO.
“Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau silap apabila mengatakan tiada “Malaya” dalam kerajaan negeri gabungan sekarang kerana PKR dan DAP sememangnya parti Malaya.
“Justeru, sebenarnya kerajaan negeri Sabah sekarang ini tidaklah bebas daripada parti-parti Malaya, kerana adanya pemimpin-pemimpin PKR dan DAP memegang jawatan sebagai menteri dan pembantu menteri,” katanya seperti yang dipetik dari portal Sayang Sabah.
Hajiji mengulas kenyataan Wilfred bahawa beliau dan UPKO lari daripada UMNO kerana tidak mahu berada di bawah cengkaman UMNO.
Wilfred mendakwa, mereka kini berada dalam zon lebih selesa kerana tidak lagi dibuli disamping mahu menggunakan budaya Sabah dari segi politik dan tadbir urus seperti Sarawak serta tidak perlu budaya Malaya.
Hajiji berkata, sekiranya UPKO dan Wilfred menolak budaya Malaya daripada segi politik, kenapa bergabung dengan Kerajaan Warisan-Pakatan Harapan.
“Adakah PKR dan DAP bukan parti Malaya yang juga mengamalkan budaya politik Malaya? Ini jelas UPKO sudah “double standards.
“Wilfred Tangau harus sedar bahawa rakyat Sabah bukannya bodoh. Kita faham kenapa beliau berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN ONLINE











