EMPOLI – Pemain baharu Juventus, Cristiano Ronaldo mungkin dianggap antara pemain terbaik sepanjang zaman berdasarkan pencapaian dilakukan serta kemahiran teknikal yang dimiliki.
Bagaimanapun, status Ronaldo selaku ‘raja gelecek’ dalam sukan tersebut masih belum dapat dibuktikan pada saingan Serie A apabila ketinggalan kepada pemain Empoli, Afriyie Acquah pada minggu pertama.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan bagi saingan minggu pert ama Serie A, Acquah yang juga pemain pinjaman dari Torino mengejutkan ramai pihak apabila lebih banyak melakukan larian serta gelecek berbanding pemain lain.
Ronaldo serta pemain Atalanta, Alejandro Gomez merupakan antara pemain memiliki kemampuan tersebut, namun gagal mengatasi prestasi Acquah yang membantu Empoli menewaskan Cagliari 2-0, Ahad lalu.
Pemain kelahiran Ghana itu juga mengejutkan ramai pihak serta penyokong Empoli apabila diberikan kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama, hanya dua hari selepas berhijrah dari Torino.
Dia juga dilihat tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baharu itu apabila banyak membantu rakan-rakan sepasukan melakukan gerakan ketika melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan.
Walaupun Acquah dilihat sedang mengatasi pemain-pemain lain dari segi larian serta gelecek, namun saingan liga masih panjang sekali gus bakal menyaksikan Ronaldo atau Gomez akan mencabarnya. – Agensi











