RMMJ ditukar jadi RMB - Utusan Malaysia

RMMJ ditukar jadi RMB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BARU 20 Ogos – Kerajaan negeri akan menjenamakan semula Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjadi Rumah Mampu Biaya (RMB).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk melihat skim perumahan RMB bagi lebih mencerminkan pemilikan rumah mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah.

“Perkara yang paling penting adalah memastikan pembeli rumah yang memenuhi syarat dapat dan memperoleh pinjaman untuk membeli rumah,” katanya selepas mengadakan lawatan ke pejabat Daerah Johor Bahru, di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat ba­nyak kes pemilik RMMJ yang gagal membayar pinjaman dan rumah mereka dilelong oleh bank untuk menyelesaikan pembayaran berkenaan.

Dalam pada itu, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Kempas memberitahu, satu lagi isu utama di daerah ini adalah kekurangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Pusat untuk menangani masalah perumahan bagi go­longan berpendapatan rendah.

“Inilah sebab utama mengapa mereka tidak mempunyai pilihan selain menceroboh tanah milik negeri atau swasta dan membina rumah setinggan,” katanya sambil memberitahu statistik tidak rasmi menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 15,000 orang yang tinggal di penempatan setinggan di daerah ini termasuk warga ­asing.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, kira-kira 20 peratus daripada pembeli RMMJ ditolak oleh bank.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengeluarkan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR), namun mereka tidak dapat menanda­tangani perjanjian jual beli tersebut kerana pinjaman tidak diluluskan.

“Kebanyakan mereka tidak membayar gaji dengan betul, bukan pendapatan tetap bulanan, bekerja sendiri dan perlu membayar pinjaman lain,” katanya.

Justeru, kerajaan negeri berjanji akan membantu pembeli rumah mampu milik seperti skim sewa beli dengan 10 peratus daripada sewa bulanan akan ditukarkan sebagai bayaran pendahuluan rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN