KUALA LUMPUR 27 Ogos – Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) melahirkan rasa risau susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membayangkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 mungkin dikekalkan.
Ketua Setiausahanya, Lim Wei Jiet menyifatkan OSA sebagai undang-undang purba yang memberi kuasa berlebihan kepada menteri atau penjawat awam untuk sewenang-wenangnya merahsiakan kebanyakan dokumen kerajaan.
Malah katanya, kesalahan mendedahkannya dokumen terlibat boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun.
Kata Wei Jiet, undang-undang itu kerap disalahgunakan oleh pentadbiran terdahulu untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang dan aktivis seperti bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang didakwa di bawah OSA kerana membocorkan muka surat laporan audit 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
“Mengekalkan OSA dalam keadaan sedia ada bertentangan dengan prinsip ketelusan dan kebebasan maklumat yang secara langsung melemahkan akauntabiliti serta tadbir urus yang baik.
“Tanpa akses kepada maklumat dasar-dasar kerajaan, rakyat tidak boleh membuat keputusan yang tepat. Masalah itu akhirnya membawa kepada sebuah kerajaan yang tidak cekap atau lebih buruk, menjadi rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam temu bualnya bersama Malaysiakini, Dr. Mahathir mengakui akta tersebut telah disalahgunakan sebelum ini, namun percaya ia masih perlu dikekalkan.
Tambah Wei Jiet, pengekalan akta itu juga boleh dilihat sebagai melanggari manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan yang menyatakan kerajaan perlu mengkaji semula OSA.
“Ia juga tidak selari dengan komitmen mereka untuk menekankan integriti dalam pentadbiran menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Antirasuah dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC),” katanya.











