SUBANG JAYA – Isu kebajikan golongan B40 iaitu mereka berpendapatan bawah RM3,000 sebulan menjadi antara agenda utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar.
Menurut Halimey, beliau telah merangka beberapa rancangan yang boleh membantu golongan itu yang sebahagian besar menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi meningkatkan tahap ekonomi mereka.
Katanya, wanita khususnya golongan ibu merupakan kelompok sasaran dalam rancangan tersebut dengan sasaran adalah untuk mendapatkan mereka kerja sambilan.
“Saya akan bekerja rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat serta Kementerian Pembangunan Usahawan selain Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor bagi pembangunan ekonomi penduduk setempat.
“Usaha akan digandakan bagi membantu mereka bekerja sambilan khususnya dalam industri pakaian dan jahitan serta makanan sejuk beku,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPRT Lembah Subang di sini semalam.
Halimey memberitahu, kebajikan anak-anak keluarga B40 di kawasan DUN Seri Setia juga akan diberikan perhatian agar tidak timbul kes keciciran dalam pendidikan.











