KLANG 14 Ogos – Keseronokan dua rakan karib bermandi-manda di Jambatan Tiga Bagan Teochew, Pulau Ketam dekat sini semalam bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka hilang dan masih tidak ditemui sehingga hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang semalam semasa mangsa, Alex Tan, 18, sedang mandi bersama rakannya, Ng Shi Yuan, 19, sebelum Alex dikatakan hilang.
Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, susulan kejadian itu pihaknya menggerakkan aset ke lokasi kejadian untuk operasi pencarian.
Operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan pada pukul 7 malam, semalam yang turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Namun, mangsa yang berseluar pendek hitam dan tidak berbaju masih tidak dijumpai sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











