RapidBus tubuh pasukan khas tuntuan insurans - Utusan Malaysia

RapidBus tubuh pasukan khas tuntuan insurans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Ogos – RapidBus menubuhkan satu pasukan khas bagi mengendalikan tuntutan insurans susulan insiden yang membabitkan bas RapidKL di AU2 Keramat, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif RapidBus, Mohd. Azam Omar berkata, pemilik kenderaan yang berhasrat untuk mengemukakan tuntutan boleh menghantar tuntutan mereka bersertakan dokumen-dokumen yang berkaitan melalui e-mel ke alamat [email protected].

“Bas yang terbabit dalam insiden di Jalan Enggang AU2 Taman Keramat malam tadi adalah dalam keadaan baik semasa digunakan. Berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat malam tadi, insiden berkenaan bermula apabila bas tersebut terlibat dalam satu kemalangan jalan raya kecil di Jalan Enggang AU2, di Taman Keramat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemandu bas dilaporkan meneruskan perjalanan sambil dikejar oleh sekumpulan orang awam. Semasa dikejar bas tersebut dilaporkan melanggar beberapa kenderaan di sepanjang jalan sehingga tiba di susur keluar Jalan Ampang ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di mana kapten bas dilaporkan dipukul oleh beberapa orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebuah video tular dalam media sosial malam tadi menunjukkan seorang penunggang motosikal mengejar sebuah bas henti-henti.

Menerusi rakaman itu, bas terbabit dilihat berada dalam keadaan laju dan dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.

Mohd. Azam berkata, pihaknya amat kesal terhadap insiden yang berlaku dan sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyiasat perkara tersebut.

“Kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu keputusan siasatan rasmi pihak polis. Pemandu bas tersebut masih menerima rawatan di hospital. Tiada orang awam yang dilaporkan cedera semasa kejadian tersebut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN