NEW DELHI 18 Ogos – Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan perjalanan ke negeri Kerala, di selatan India yang menyaksikan hampir 200 orang terkorban akibat hujan lebat dan banjir.
Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai berkata, pihaknya sedang memantau dengan teliti keadaan dan ingin menasihatkan semua rakyat Malaysia di Kerala supaya berwaspada dan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu.
Rakyat Malaysia yang merancang untuk melakukan perjalanan keKerala juga dinasihatkan untuk menunda perjalanan yang tidak perlu sehingga keadaan cuaca bertambah baik, menurut Konsulat Jeneral.
Lapangan Antarabangsa Cochin, hab pengangkutan utama, telah menggantung operasinya sehingga 26 Ogos.
Pengangkutan kereta api dan jalan raya telah terjejas dan mereka yang terkandas di kawasan-kawasan ditenggelami air berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan makanan dan barangan keperluan.
Banyak kawasan di Kerala dilanda hujan lebat dengan puluhan orang maut dilaporkan dari daerah Thrissur, Idukki dan Malappuram. – BERNAMA











