BALING 15 Ogos – Musim durian dinanti-nantikan oleh setiap peraihnya kerana ia memberi keuntungan lumayan kepada mereka termasuk di Kampung Teluk Sera di sini yang menjadi tumpuan.
Malah tahun ini disifatkan cukup meriah apabila musim durian ‘menjadi’ sejak awal Ramadan lepas dan dijangka sehingga hujung bulan ini.
Menurut salah seorang peraih durian terkenal di Kampung Teluk Sera, Aziz Abdul Ghani, dia memperoleh raja buah itu sebanyak dua hingga tiga tan melalui penduduk kampung yang mempunyai dusun di Bukit Palung dan kawasan sekitarnya.
Katanya, kedainya seolah-olah sebagai pusat pengumpulan durian kerana seawal pukul 7 pagi, orang kampung mulai mengumpul buah durian mereka di situ dan menjual dengan harga mengikut gred buah terpilih.
“Setiap tahun suasananya beginilah, ramai pelanggan datang dan tahun ini paling meriah, mereka datang dari merata tempat untuk mendapatkan buah durian dengan harga murah.
“Saya menjualnya antara RM2 sehingga RM3.50 sekilogram mengikut kualiti dan gred buah dan ia amat murah jika dibandingkan harganya pada tahun lepas,” kata Aziz.
Aziz berkata, pendapatannya sehari boleh mencecah sehingga RM8,000 dan ia merupakan pendapatan paling banyak diperoleh sejak menjadi peraih buah durian.
Selain durian, Aziz turut menjual buah rambutan, manggis, dokong, langsat dan cempedak.
Seorang lagi peraih buah, Mohd. Zahid Mahamod, 65, dari Kampung Tok Dollah berkata, hasil jualan durian membolehkannya membeli sebuah kereta pacuan empat roda untuk membawa buah-buahan itu ke kilang pemprosesan durian di Bukit Mertajam.
“Syukur Alhamdulillah, tahun ini hasil raja buah ini amat banyak dan seronok berniaga kerana banyak permintaannya termasuk dari kilang.
“Kebanyakan buah durian ini saya hantar ke kilang kerana mereka mahukan sebanyak mungkin untuk diproses,” katanya.
Setiap hari, dia menghantar sebanyak 200 tan buah durian ke kilang dan ada juga ke Thailand.
Malah ada dalam kalangan penggemar buah durian mereka sanggup memandu beratus batu untuk ke kampung itu bagi mendapatkannya di kedai peraih berkenaan.
Bukan itu sahaja, ada juga menjadikan musim durian ini sebagai peluang untuk meraih pendapatan tambahan dan ia bukan sesuatu mengecewakan.
Nor Azwani Amira Hasan, 30, berkata, dia sanggup datang dari Sungai Petani setiap hari sehingga larut malam semata-mata mahu mendapatkan buah yang elok dan murah.
“Sebanyak 200 kilogram (kg) buah durian yang saya beli dan kemudian menjualnya di hadapan rumah saya di Aman Jaya dan ramai jiran datang membelinya kerana harga yang saya jual juga murah,” katanya.
Katanya, setiap tahun dia menunggu musim durian dan tidak sabar untuk menjualnya dan memperoleh pendapatan sambilan hampir RM900 sehari di samping membantu suaminya.
Nor Saimah Saidin, 33, berkata, dia menjual buah durian melalui online dan ramai rakan facebooknya menjadi pelanggan setianya.
“Selepas saya masukkan gambar durian dekat facebook, ramai yang memesannya dan saya hanya mendapatkan stok durian di sini sahaja kerana kualiti buahnya yang baik, segar dan terjamin serta harganya murah.
“Setelah memperoleh buah dipesan, saya terus menghantarnya ke rumah mereka dan saya hanya mengambil pesanan daripada mereka yang rumahnya berdekatan dengan rumahnya saya di Sungai Petani dan Bukit Selambau serta kawasan sekitarnya,” katanya.
Penduduk tempatan, Rusli Mat Desa, 56, pula berkata, dia selalu membeli buah durian di Teluk Sera kerana buahnya yang sedap, manis dan lemak untuk dimakan bersama pulut dan santan.
“Harganya amat berbaloi dan amat murah jika dibandingkan dengan harga di kawasan lain,” katanya.











