KUALA LUMPUR 14 Ogos – Skuad silat kebangsaan tidak menganggap provokasi yang mungkin dicetuskan penyokong tuan rumah Sukan Asia 2018, Indonesia mampu merencatkan persembahan mereka.
Sebaliknya, sebarang provokasi dianggap sebagai ujian yang mampu membakar semangat pesilat negara untuk memburu pingat emas dalam edisi ke-18 temasya.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, seperti kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’, skuad negara sudah lali dengan provokasi, terutama daripada penyokong Indonesia.
“Provokasi itu biasalah dalam mana-mana pertandingan sukan. Cuma yang membezakan adalah cara penerimaan kita. Alhamdulillah silat kita dah lali dengan provokasi lebih-lebih lagi dengan seteru tradisi kita, Indonesia.
“Sebenarnya, provokasilah yang lagi membakar semangat kita untuk menang. Misi untuk menang itu semakin membawa dan berupaya memberikan kita tumpuan penuh dalam gelanggang.
“Skuad negara kini sedang menjalani kem latihan khusus untuk kekuatan mental di Bukit Fraser dan akan tamat pada Khamis depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 30 Julai lalu mendedahkan, selain bola sepak dan badminton, silat juga salah satu daripada tiga sukan yang dikenal pasti berisiko tinggi untuk berdepan provokasi daripada tuan rumah Sukan Asia 2018.
Sementara itu, prospek pingat emas skuad silat, Al Jufferi Jamari berkata, dia dan rakan-rakan seperjuangan tidak mahu melepaskan peluang merebut podium No. 1 apabila silat membuat penampilan sulung dalam Sukan Asia.
“Semua pesilat pun secara peribadi menyasarkan emas. Ini kerana silat pertama kali dianjurkan dalam Sukan Asia 2018.
“Bagi saya, nak kata tekanan itu tidak, tetapi bukan bermaksud saya ambil mudah. Ini adalah kerja dan tanggungjawab saya,” katanya.
Sebagai rekod, kontinjen Malaysia menyasarkan tujuh pingat emas untuk dibawa pulang dari Sukan Asia Jakarta-Palembang, yang akan bermula Sabtu depan, dengan skuad silat meletakkan harapan menggondol sekurang-kurangnya tiga emas.











