KUALA LUMPUR – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Balakong dan Seri Setia bermula serentak pada pukul 9 pagi ini.
Penamaan calon masing-masing akan diadakan di Dewan Demense, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat bagi PRK Balakong dan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi PRK Seri Setia.
Tempoh masa untuk mengemukakan pencalonan akan berlangsung selama satu jam sehingga pukul 10 pagi diikuti dengan pengumuman calon-calon yang bakal bertanding oleh pengawal pengurus kedua-dua PRK tersebut.
Di PRK Balakong Pakatan Harapan (PH) akan menampilkan bekas ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Wong Siew Ki, 32, untuk mempertahankan kerusi DUN itu.
Beliau juga adalah Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang.
PRK ini juga mencatat sejarah apabila MCA akan bertanding menggunakan logo partinya sendiri sejak tertubuhnya Perikatan dan Barisan Nasional dan akan mempertaruhkan ahli perniagaan dan anak tempatan, Tan Chee Teong sebagai calon mereka. – Bernama











