PUTRAJAYA – Pemaju projek Forest City di Johor, Country Garden Holdings Co. perlu berhenti daripada menjalankan sebarang aktiviti sehingga satu jawatankuasa dibentuk bagi menyemak dan menilai semula perjanjian berhubung penjualan unit kediaman di projek tersebut.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin berkata, sehingga kini pihak pemaju masih belum berhubung dengan pihak kementerian bagi mendapatkan sebarang penjelasan berhubung arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan larangan penjualan unit kediaman tersebut kepada warga asing.
“Mereka (pemaju) sepatutnya hentikan (aktiviti di Forest City) sebab mereka perlu mendapat penjelasan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
“Sepatutnya mereka menulis surat kepada kita untuk mendapatkan penjelasan. Namun, sebelum mendapat penjelasan, kita akan bentuk satu jawatankuasa untuk mengkaji dan menyemak perjanjian yang dipersetujui dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri di sini semalam.











