ISKANDAR PUTERI 26 Ogos – Memberikan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan dan beramah mesra dengan masyarakat adalah antara intipati utama program Kayuhan Mesra semalam.
Program anjuran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan Kelab Basikal Iskandar Puteri (Basip) itu turun padang di beberapa kawasan terpilih menerusi konvoi.
Kira-kira 80 pegawai dan anggota IPD Iskandar Puteri dan Basip menyertainya yang antara lain bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan para peserta.
Kayuhan bermula pukul 8.30 pagi dari Balai Polis Kangkar Pulai sebelum ke Pos Komuniti Fasa Lily Taman Pulai Indah, Pos Kawasan Rukun Tetangga (KRT)/Skim Rondaan Sukarela (SRS) Pulai Mesra, Taman Pulai Emas dan berakhir di Balai Polis Kangkar Pulai.
Program tersebut turut disertai Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad dan timbalannya, Superintenden Ismail Dollah.
Menurut Noor Hashim, matlamat program bukan sekadar untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan pegawai dan anggota polis tetapi lebih daripada itu.
“Program seperti ini juga dapat meningkatkan hubungan silaturahim dan komunikasi bukan sahaja dalam kalangan anggota tetapi antara polis dan masyarakat setempat.
“Program kayuhan seperti ini juga memberi kelebihan kepada pihak polis untuk mengenali kawasan mereka dengan lebih baik bagi meningkatkan lagi mutu dan kualiti kerja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup di Balai Polis Kangkar Pulai, dekat sini.











