PETALING JAYA 18 Ogos – Pakatan Harapan menganggap kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, memudahkan lagi perkhidmatan yang diberikan kepada penduduk setempat memandangkan PH kini menguasai kerajaan negeri Selangor dan Pusat.
Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, dalam pilihan raya, rakyat sentiasa mengutamakan perkhidmatan yang mampu diberikan oleh mereka yang menang.
“Kalau pilih calon kita, beliau akan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). PH merupakan kerajaan negeri dan juga pusat.
“Eloklah begitu agar kerjasama lebih jitu dan baik dapat disalurkan kepada penduduk setempat,” katanya selepas berakhirnya proses penamaan calon PRK DUN Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, pagi tadi.
Dalam PRK kali ini, Pas mempertaruhkan Dr. Halimah Ali sebagai calon untuk menentang Halimey Abu Bakar (PKR) yang mewakili PH.
Dr. Wan Azizah juga menjelaskan, penggunaan logo PH dalam PRK itu penting untuk membiasakan pengundi dengan logo tersebut. – UTUSAN ONLINE











