KUALA LUMPUR 18 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon Pakatan Harapan (PH) dengan MCA.
Pakatan Harapan mempertaruhkan Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang, Wong Siew Ki, 32, manakala MCA menampilkan ahli perniagaan, Tan Chee Teong, 40.
Ketika mengumumkan perkara tersebut, Pegawai Pengurus PRK Balakong, Datuk Rosli Othman berkata, Chee Teong telah menyerahkan kertas pencalonannya pada pukul 9.06 pagi, manakala Siew Ki pada pukul 9.13 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, PRK di DUN Balakong yang bakal berlangsung pada 8 September ini menyaksikan logo PH akan digunakan buat pertama kalinya, selain MCA yang bertanding atas tiket dan lambang parti sendiri.
PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee akibat kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Grand Saga, Cheras pada 20 Julai lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Chee yang mewakili DAP menewaskan dua pesaingnya iaitu calon Barisan Nasional (BN) Lim Chin Wah dan calon Pas, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.
Sementara itu, Siew Ki ketika ditemui berkata, memasuki tempoh berkempen, beliau tidak akan tunggu lama untuk bertemu pengundi-pengundi di DUN Balakong yang disifatkan sebagai sebuah kawasan yang sedikit rumit.
“DUN Balakong ini sedikit rumit kerana terdapatnya kampung baharu, perumahan kawasan yang moden serta kawasan-kawasan perindustrian, justeru masalah yang dihadapi oleh pengundi-pengundi di sini tentunya berbeza-beza.
“Mungkin sesetengah orang akan melihatnya sebagai cabaran, namun bagi saya, ini merupakan faktor menarik dan saya akan berusaha untuk menjadi pemimpin kepada semua golongan masyarakat di sini. Saya yakin sebagai kerajaan Pusat dan negeri, PH mampu membawa banyak perubahan kepada Balakong terutama meningkatkan kualiti hidup penduduk dan kemudahan infrastruktur,” katanya.
Bagi Chee Teong pula, beliau mengakui peluang untuk melakukan kejutan adalah tipis tetapi tetap akan berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan majoriti yang diperoleh parti lawannya itu dalam PRU-14 yang lalu.
“Saya rasa majoriti sebelum ini adalah besar dan peluang untuk memberikan kejutan dan menang adalah tipis. Saya akan mencuba sedaya upaya dan yakin akan ada peluang untuk mengurangkan majoriti yang dipegang parti itu sebelum ini,” katanya.











