KUALA LUMPUR 14 Ogos – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menggesa agar kerajaan yang baharu ini memberi lebih banyak peluang kepada golongan kontraktor Melayu melibatkan diri dalam projek-projek infrastruktur negara.
Presidennya, Datuk Mokhtar Samad berkata, PKMM percaya kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed tidak sama sekali akan mengabaikan atau mengenepikan golongan kontraktor Melayu dalam perlaksanaan projek-projek untuk kepentingan negara seperti Transit Aliran Massa (MRT) , Transit Aliran Ringan (LRT), lebuhraya dan pelbagai pembinaan infrastruktur yang lain.
“Sebagai kerajaan yang diketuai oleh Tun Mahathir dengan dibantu oleh Tun Daim Zainuddin sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Kerajaan yang kedua-duanya diketahui memihak kepada kemajuan golongan Bumiputera sejak dahulu, PKMM percaya dasar kerajaan akan berterusan dalam perkara itu.
“Sebagaimana yang sudah dibuktikan selama ini, golongan kontraktor Melayu memang mempunyai kelayakan dan mampu menyiapkan apa juga projek yang diberikan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mokhtar lagi, pihaknya merupakan golongan peniaga atau usahawan yang sentiasa komited untuk membantu kerajaan melaksanakan apa juga projek pembangunan yang diamanahkan dan tidak terikat dengan sentimen politik kepartian mana-mana pihak.
“Matlamat dan tujuan utama PKMM ialah membantu kerajaan membina dan membangunkan negara serta beriltizam untuk menyokong apa jua usaha dan dasar yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
“Apa juga projek yang dilaksanakan oleh kerajaan, PKMM percaya matlamat besarnya ialah untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, PKMM berharap agar pihak kerajaan dapat mengatasi soal kelambatan dari segi pembayaran kepada para kontraktor ini dengan sewajarnya kerana perkara ini yang paling mengganggu kelancaran perlaksanaan dan siapnya sesuatu projek yang dilaksanakan.
“Lebih-lebih lagi kepada kontraktor kecil, soal kelambatan bayaran ini harus diberi penekanan yang lebih oleh kerajaan bagi mengelakkan timbulnya pelbagai masalah yang lain,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE











